Tinggalkan Pesanan Anda di Sini.. ;)



25 Oktober 2011

Kisah Dua Sahabat dan Buah Anggur

Pada suatu masa dahulu, di sebuah kampung yang subur tanahnya, terdapat sebuah ladang anggur yang dimiliki oleh seorang lelaki. Pada suatu hari, sahabatnya telah datang melawatnya di ladang itu. Sahabatnya itu mendekati sebuah pohon anggur yang amat lebat buahnya. Maka pemilik ladang aggur itu pun memetik setangkai buah anggur dan mengundang sahabatnya untuk makan. Setelah itu, sahabatnya itu mengucapkan terima kasih sebelum pulang dengan rasa puas.


Semenjak itu, sahabat pemilik ladang anggur ini sering berkunjung ke ladang anggur tersebut. Setiap kali kunjungannya, pemilik ladang anggur itu tidak pernah lupa untuk menjamu sahabatnya dengan buah anggur hasil tanamannya. Pada hari kesepuluh, isteri pemilik ladang itu berkata kepada suaminya,

“Layanan seperti itu mungkin kelihatan kurang sopan terhadap tetamu. Pada pandangan saya, apabila abang mengundang tetamu itu makan dan dia telah makan separuh daripada buah anggur itu, sebaiknya abang turut makan bersamanya. Tetamu itu akan berasa lebih senang hati dengan penghormatan yang abang berikan itu.”

Mendengarkan cadangan isterinya itu, pemilik ladang anggur itu pun bersetuju,

“baiklah, esok abang akan lakukan cara itu.”

Keesokan harinya, sahabat itu datang lagi menziarah pemilik ladang anggur dan beliau dijamu dengan buah anggur. Setelah sahabatnya makan separuh daripada buah itu, pemilik ladang anggur itu pun menghulurkan tangannya dan mengambil sebutir buah anggur. Ketika beliau memakannya, buah itu berasa sungguh masam dan tidak enak untuk dimakan. Lalu, dia pun meludahkan apa yang dimakannya sambil mengernyitkan kedua alisnya. Kemudian, beliau menyatakan kehairanannya terhadap kesabaran sahabatnya yang masih mahu memakan buah seperti itu.

Sahabatnya menjawab,

“Sesungguhnya, aku telah makan buah ini dari tanganmu selama beberapa hari ini dengan rasa yang sangat manis. Tetapi, apabila aku memakan buah yang masam itu tadi, aku tidak suka untuk memperlihatkan kepadamu rasa tidak suka dengan buah ini, bimbang jika kau akan menyesali pemberianmu yang lalu. “

*Tamat*

Kisah penuh pangajaran untuk mereka yang berukhuwwah.

Tiada seorang pun di sekitarmu yang sentiasa benar dan tidak pernah melakukan kesalahan. Oleh kerana itu, jika ada saudaramu yang sedang berbuat kekeliruan, maka janganlah kekeliruannya itu mendorongmu untuk mendiamkannya, tidak mahu lagi bergaul dengannya, tidak sabar dengannya, dan tidak mahu lagi menghargai dirinya.



Bahkan jangan pula kamu mencelanya, melainkan sabarkanlah dirimu dan tahanlah emosimu, dan kamu harus memaafkannya dalam hatimu kerana mengingat kebaikannya yang terdahulu dan perilakunya yang baik dan penghormatannya kepadamu. Kerana barangkali saja dia dapat membantumu untuk bertaubat dan mengajarkan pengetahuan yang dikurniakan Allah kepadanya untuk meberi manfaat kepadamu.


Dipetik dan diadaptasi daripada Muhammad Ahmad ar-Rasyid. (2003). Pelembut Hati. Jakarta: Robbani Press.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Halwa Telinga