Tinggalkan Pesanan Anda di Sini.. ;)



28 Oktober 2011

Luasnya Neraka

YA ALLAH YA RAHMAN YA RAHIM, lindunglilah dan peliharakanlah kami, kedua ibubapa kami, isteri kami, anak-anak kami, kaum keluarga kami & semua orang Islam dari azab seksa api nerakaMu YA ALLAH.

Sesungguhnya kami tidak layak untuk menduduki syurgaMu YA ALLAH, namun tidak pula kami sanggup untuk ke nerakaMu YA ALLAH. Ampunilah dosa-dosa kami, terimalah taubat kami dan terimalah segala ibadah dan amalan kami dengan RAHMATMU YA ALLAH......AMIN.....

.: Luasnya Neraka :.

Yazid Arraqqasyi dari Anas bin Malik ra. berkata: Jibrail datang kepada Nabi saw pada waktu yg ia tidak biasa datang dalam keadaan berubah mukanya, maka ditanya oleh nabi s.a.w.: 'Mengapa aku melihat kau berubah muka?'

Jawabnya: 'Ya Muhammad, aku datang kepadamu di saat Allah menyuruh supaya dikobarkan penyalaan api neraka, maka tidak layak bagi orang yg mengetahui bahawa neraka Jahannam itu benar, dan siksa kubur itu benar, dan siksa Allah itu terbesar untuk bersuka-suka sebelum ia merasa aman dari padanya.'

Lalu nabi s.a..w. bersabda: 'Ya Jibrail, jelaskan padaku sifat Jahannam.'

Jawabnya: 'Ya. Ketika Allah menjadikan Jahannam, maka dinyalakan selama seribu tahun, sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga putih, kemudian seribu tahun sehingga hitam, maka ia hitam gelap, tidak pernah padam nyala dan baranya. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan terbuka sebesar lubang jarum nescaya akan dapat membakar penduduk dunia semuanya kerana panasnya.

Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan satu baju ahli neraka itu digantung di antara langit dan bumi nescaya akan mati penduduk bumi kerana panas dan basinya.

Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan satu pergelangan dari rantai yg disebut dalam Al-Quran itu diletakkan di atas bukit, nescaya akan cair sampai ke bawah bumi yg ke tujuh.

Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan seorang di hujung barat tersiksa, nescaya akan terbakar orang-orang yang di hujung timur kerana sangat panasnya, Jahannam itu sangat dalam dan perhiasannya besi dan minumannya air panas campur nanah dan pakaiannya potongan-potongan api.

Api neraka itu ada tujuh pintu, tiap-tiap pintu ada bahagiannya yang tertentu dari orang laki-laki dan perempuan.'

Nabi s.a.w. bertanya: 'Apakah pintu-pintunya bagaikan pintu-pintu rumah kami?'

Jawabnya: 'Tidak, tetapi selalu terbuka, setengahnya di bawah dari lainnya, dari pintu ke pintu jarak perjalanan 70,000 tahun, tiap pintu lebih panas dari yang lain 70 kali ganda.' (nota kefahaman: iaitu yg lebih bawah lebih panas)

Tanya Rasulullah s.a.w.: 'Siapakah penduduk masing-masing pintu?'

Jawab Jibrail:

  • 'Pintu yg terbawah untuk orang-orang munafik, dan orang-orang yg kafir setelah diturunkan hidangan mukjizat nabi Isa a.s. serta keluarga Fir'aun sedang namanya Al-Hawiyah.
  • Pintu kedua tempat orang-orang musyrikin bernama Jahim,
  • Pintu ketiga tempat orang shobi'in bernama Saqar.
  • Pintu ke empat tempat Iblis dan pengikutnya dari kaum majusi bernama Ladha,
  • Pintu kelima orang yahudi bernama Huthomah.
  • Pintu ke enam tempat orang nasara bernama Sa'eir.'

Kemudian Jibrail diam segan pada Rasulullah s.a.w.. sehingga ditanya: 'Mengapa tidak kau terangkan penduduk pintu ke tujuh?'

  • Jawabnya: 'Di dalamnya orang-orang yg berdosa besar dari ummatmu yg sampai mati belum sempat bertaubat.'

Maka nabi s.a.w. jatuh pingsan ketika mendengar keterangan itu, sehingga Jibrail meletakkan kepala nabi s.a.w. di pangkuannya sehingga sedar kembali dan sesudah sadar nabi saw bersabda: 'Ya Jibrail, sungguh besar kerisauanku dan sangat sedihku, apakah ada seorang dari ummat ku yang akan masuk ke dalam neraka?'

Jawabnya: 'Ya, iaitu orang yg berdosa besar dari ummatmu.'

Kemudian nabi s.a.w. menangis, Jibrail juga menangis, kemudian nabi s.a.w. masuk ke dalam rumahnya dan tidak keluar kecuali untuk sembahyang kemudian kembali dan tidak berbicara dengan orang dan bila sembahyang selalu menangis dan minta kepada Allah.(dipetik dari kitab 'Peringatan Bagi Yg Lalai')

Dari Hadith Qudsi: Bagaimana kamu masih boleh melakukan maksiat sedangkan kamu tak dapat bertahan dengan panasnya terik matahari Ku.

Tahukah kamu bahawa neraka jahanamKu itu:

  1. Neraka Jahanam itu mempunyai 7 tingkat
  2. Setiap tingkat mempunyai 70,000 daerah
  3. Setiap daerah mempunyai 70,000 kampung
  4. Setiap kampung mempunyai 70,000 rumah
  5. Setiap rumah mempunyai 70,000 bilik
  6. Setiap bilik mempunyai 70,000 kotak
  7. Setiap kotak mempunyai 70,000 batang pokok zarqum
  8. Di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 ekor ular
  9. Di dalam mulut setiap ular yang panjang 70 hasta mengandungi lautan racun yang hitam pekat.
  10. Juga di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 rantai
  11. Setiap rantai diseret oleh 70,000 malaikat

Mudah-mudahan ini dapat menimbulkan keinsafan kepada kita semua.....Wallahua'lam.

Al-Quran Surah Al- Baqarah Ayat 159

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayat, sesudah Kami terangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.

Dari Abdullah bin 'Amr R.A,

Rasulullah S.A.W bersabda:' Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat..

25 Oktober 2011

Kisah Dua Sahabat dan Buah Anggur

Pada suatu masa dahulu, di sebuah kampung yang subur tanahnya, terdapat sebuah ladang anggur yang dimiliki oleh seorang lelaki. Pada suatu hari, sahabatnya telah datang melawatnya di ladang itu. Sahabatnya itu mendekati sebuah pohon anggur yang amat lebat buahnya. Maka pemilik ladang aggur itu pun memetik setangkai buah anggur dan mengundang sahabatnya untuk makan. Setelah itu, sahabatnya itu mengucapkan terima kasih sebelum pulang dengan rasa puas.


Semenjak itu, sahabat pemilik ladang anggur ini sering berkunjung ke ladang anggur tersebut. Setiap kali kunjungannya, pemilik ladang anggur itu tidak pernah lupa untuk menjamu sahabatnya dengan buah anggur hasil tanamannya. Pada hari kesepuluh, isteri pemilik ladang itu berkata kepada suaminya,

“Layanan seperti itu mungkin kelihatan kurang sopan terhadap tetamu. Pada pandangan saya, apabila abang mengundang tetamu itu makan dan dia telah makan separuh daripada buah anggur itu, sebaiknya abang turut makan bersamanya. Tetamu itu akan berasa lebih senang hati dengan penghormatan yang abang berikan itu.”

Mendengarkan cadangan isterinya itu, pemilik ladang anggur itu pun bersetuju,

“baiklah, esok abang akan lakukan cara itu.”

Keesokan harinya, sahabat itu datang lagi menziarah pemilik ladang anggur dan beliau dijamu dengan buah anggur. Setelah sahabatnya makan separuh daripada buah itu, pemilik ladang anggur itu pun menghulurkan tangannya dan mengambil sebutir buah anggur. Ketika beliau memakannya, buah itu berasa sungguh masam dan tidak enak untuk dimakan. Lalu, dia pun meludahkan apa yang dimakannya sambil mengernyitkan kedua alisnya. Kemudian, beliau menyatakan kehairanannya terhadap kesabaran sahabatnya yang masih mahu memakan buah seperti itu.

Sahabatnya menjawab,

“Sesungguhnya, aku telah makan buah ini dari tanganmu selama beberapa hari ini dengan rasa yang sangat manis. Tetapi, apabila aku memakan buah yang masam itu tadi, aku tidak suka untuk memperlihatkan kepadamu rasa tidak suka dengan buah ini, bimbang jika kau akan menyesali pemberianmu yang lalu. “

*Tamat*

Kisah penuh pangajaran untuk mereka yang berukhuwwah.

Tiada seorang pun di sekitarmu yang sentiasa benar dan tidak pernah melakukan kesalahan. Oleh kerana itu, jika ada saudaramu yang sedang berbuat kekeliruan, maka janganlah kekeliruannya itu mendorongmu untuk mendiamkannya, tidak mahu lagi bergaul dengannya, tidak sabar dengannya, dan tidak mahu lagi menghargai dirinya.



Bahkan jangan pula kamu mencelanya, melainkan sabarkanlah dirimu dan tahanlah emosimu, dan kamu harus memaafkannya dalam hatimu kerana mengingat kebaikannya yang terdahulu dan perilakunya yang baik dan penghormatannya kepadamu. Kerana barangkali saja dia dapat membantumu untuk bertaubat dan mengajarkan pengetahuan yang dikurniakan Allah kepadanya untuk meberi manfaat kepadamu.


Dipetik dan diadaptasi daripada Muhammad Ahmad ar-Rasyid. (2003). Pelembut Hati. Jakarta: Robbani Press.

23 September 2011

Ciri-ciri Wanita yang Terbaik

Kekuatan lelaki bergantung kepada wanita yang baik. Sebaliknya wanita yang jahat boleh merosakan masa depan lelaki. Kenyataan ini mungkin tidak disenangi oleh baik lelaki mahupun wanita. Tapi kenyataan itu boleh dibuktikan seperti berikut:


Wanita :-

1. Isteri sambut kepulangan suami dengan senyuman
2. Isteri menyediakan minuman untuk meredakan kepenatan suami.
3. Isteri menyediakan kain tuala dan berus gigi untuk suami mandi sebelum solat maghrib
4. Isteri siapkan tempat tidur untuk suami berihat selepas solat isya’
5. Isteri menemani suami menjelang tidur dengan perbualan yang menghiburkan
6. Isteri siapkan pakaian untuk kerja dan menghidangkan sarapan pagi
7. Isteri menjaga diri, maruah diri, dan menjaga harta dan anak suami

Lelaki :-

1. Masalah suami di pejabat hilang serta merta, hati gembira melihat keadaan isteri
2. Masalah suami di pejabat hilang serta merta, hati gembira melihat keadaan isteri
3. Suami mandi dan tubuhnya kembali segar sebelum menghadap Allah
4. Jiwa suami tenang sambil merehatkan minda dan tenaga.
5. Suami beroleh tenaga baru kerana mendapat aura isteri
6. Suami pergi kerja dalam keadaan jiwa yang tenang dan terhibur
7. Suami dalam perjalanan ke tempat kerja penuh keyakinan dan dapat bekerja yang penuh ikhlas

Inilah yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. tentang sifat dan sikap sebaik-baik wanita atau isteri. Sabda Rasulullah s.a.w:

وَخَيرُ النِّسَاءِ مَنْ تَسُرُّكَ إِذَا أَبْصَرْتَ وَتَطِيعُكَ إِذَا أَمَرْتَ وَتَحْفَظُ غَيْبَكَ فِى نَفْسِهَا وَمَالِكَ

Hadis riwayat Ahmad, an-Nasaie dan al-Hakim ini bermaksud: “Dan sebaik-baik wanita ialah mereka yang boleh mengembirakan engkau apabila kamu melihatnya, dan yang mentaati kamu apabila kamu menyuruhnya, dan dia memelihara maruah dirinya dan harta engkau ketika ketiadaanmu."

Lihatlah betapa cerianya suami ketika pulang dari tempat kerja. Keadaan itu berterusan sehingga suami tidur dan bangun semula. Suami tidak mengharapkan sesuatu daripada isterinya kecuali belaian kasih dan manja sepanjang masa.

Sebaliknya jika isteri jahat, tidak mengikut panduan di atas, maka suami akan berhadapan dengan tekanan perasaan. Perhatikan contoh berikut:

Isteri :-

1. Isteri menyembut kepulang suami dengan pelbagai soalan perangkap
2. Isteri sebuk di dapur untuk membuat makan malam
3. Isteri asyik menonton tv
4. Isteri tidur di hadapan tv
5. Isteri menghantar suami di hadapan pintu tanpa memohon maaf kerana tidak berasa bersalah kepada suami
6. Isteri tidak menjaga maruah diri dan harta suami diperlakukan sesuka hati.

Suami :-

1. Suami yang hendak masuk rumah berkira-kira untuk keluar rumah, masalah menjadi bertambah berat
2. Suami yang dahaga ke dapur mengambil sendiri air minuman
3. Suami juga menonton tv
4. Suami menunggu dilayan isteri di atas katil
5. Suami pergi kerja dalam keadaan tidak ceria dan terbuku pelbagai persoalan yang belum terjawab
6. Suami di tempat kerja penuh kebimbangan.

Isteri yang tidak dapat melakukan perkara yang disebut dalam hadis di atas, adalah sejahat-jahat isteri. Dia telah merosakan masa depan suaminya. Suami tidak beroleh pahala malah boleh jadi berdosa. Menyedari keadaan ini, seseorang isteri harus melatihkan diri ke arah wanita yang terbaik. Semoga kehidupan mereka nanti terarah kea rah yang tepat.

dipetik dari : halaqah.net

29 Julai 2011

Memaknakan Ramadan Kali Ini

Sabda Rasulullah s.a.w:
((كَمْ مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَكَمْ مِنْ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ))


(( Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi ia tidak memperolehi apa-apa kecuali lapar dan berapa ramai yang bangun malam dia tidak memperolehi apa-apa kecuali berjaga)). Riwayat Imam Ahmad

Hadis di atas membayangkan bahawa pada bulan Ramadan terdapat juga golongan yang berpuasa namun mereka tidak mendapat ganjaran pahala dari Allah Taala kerana mereka berpuasa dalam keadaan jahil atau ketika berpuasa mereka turut melanggar syariat Allah Taala. Justeru bagi memastikan ibadah puasa Ramadan tidak dilalui dengan sia-sia sewajarnyalah kita berusaha membuat persediaan rapi demi memperolehi ganjaran berlipat ganda yang ditawarkan oleh Allah Taala sepanjang Ramadan.

Berikut adalah beberapa persiapan yang boleh dibuat oleh seorang muslim bagi menjadikan Ramadan kali ini lebih bermakna:

1) Persiapan Diri:

Sebagai muslim yang benar-benar prihatin dengan kehadiran Ramadhan semestinyalah menyemak semula hukum-hakam yang berkaitan dengan pengertian puasa, hikmah, rukun dan perkara-perkara yang membatalkan puasa agar ibadah yang dilalui tidak sia-sia. Juga hendaklah mengetahui amalan-amalan sunat yang sangat digalakkan ketika berpuasa seperti membaca al-quran, bersedekah dan membantu golongan yang susah. Di samping itu hendaklah juga mengetahui fatwa-fatwa berkaitan dengan permasalahan semasa yang berkaitan dengan puasa.

Kita juga hendaklah mengetahui bahawa ketika Ramadhan kita bukan sahaja dituntut menahan lapar dan dahaga tetapi hendaklah juga memelihara aurat, tidak bergaul bebas lelaki dan perempuan, tidak mengunjungi pusat-pusat hiburan dan kelab malam, tidak bersentuhan dengan bukan muhrim, tidak membeli tiket loteri dan berjudi, tidak menghabiskan masa membuat perkara sia-sia seperti menonton tv dan mendengar lagu-lagu yang melalaikan dan tidak terlibat dengan mengumpat dan menfitnah orang lain.

Seorang muslim yang akan menempuh bulan Ramadhan sewajarnya menanamkan keazaman dengan penuh ikhlas untuk menumpukan sepenuhnya bulan ini dengan amal ibadah. Kehadiran ke masjid bukan kerana malu kepada orang ramai tetapi benar-benar mengharapkan pengampunan dari Allah Taala.

Cara yang terbaik untuk meningkat ilmu dan kefahaman berkaitan puasa khususnya ialah dengan menghadiri ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah yang menyentuh tentang persediaan Ramadhan dan ibadah puasa.

Bagi memastikan amalan harian kita lebih teratur dan tersusun sepanjang Ramadhan, kita bolehlah menyusun satu jadual ringkas seperti berikut:

Subuh :
  • Bangun awal dan solat sunat dua rakaat (tahajjud).
  • Bersahur sekurang-kurangnya seteguk air.
  • Solat Subuh di masjid atau surau.
  • Membaca al-Quran atau mendengar tazkirah subuh.

Pagi:
  • Ke pejabat dengan menghayati bacaan al-Quran di dalam kenderaan.
  • Solat Sunat Dhuha
  • Bekerja seperti biasa.

Tengahari:
  • Solat Zohor berjamaah samada di masjid berdekatan atau di pejabat.
  • Tadarus al-Quran bersama rakan-rakan di pejabat atau belajar membaca al-Quran.
  • Rehat atau tidur lebih kurang sepuluh minit.
  • Bekerja seperti biasa.

Petang:
  • Solat Asar di masjid atau surau.
  • Membaca al-Quran.
  • Pulang ke rumah dengan menghayati bacaan al-Quran di dalam kenderaan.
  • Menyediakan juadah berbuka/membantu isteri.
  • Bertadarus al-Quran dengan keluarga.
  • Berbuka puasa dengan tamar dan air kemudian solat maghrib berjamaah di masjid (bagi lelaki).
  • Solat Maghrib Berjamaah di Masjid (Kaum lelaki).
  • Pulang ke rumah untuk makan bersama keluarga.
Malam:
  • Solat Sunat sebelum Isyak
  • Solat Isyak.
  • Solat Sunat selepas Isyak.
  • Solat Sunat Tarawih.
  • Bertadarus al-Quran di masjid atau surau.
  • Tidur awal untuk bangun awal.

Ketika waktu cuti pula sebaiknya dipenuhi dengan amalan beriktikaf di masjid samada seorang diri atau membawa isteri dan anak-anak yang sudah dewasa. Sewajarnya bulan puasa ini dikurangkan aktiviti berjalan-jalan ke pusat membeli belah atau pusat pelancongan kerana biasanya akan terdedah kepada memandang kepada sesuatu yang boleh mengurangkan pahala puasa.

Segala perancangan amalan di atas tidak boleh dilakukan secara mengejut atau tergesa-tergesa, oleh itu kesempatan di bulan Syaaban ini wajar digunakan bagi membiasakan diri dengan amalan-amalan tersebut.

2) Persiapan di Rumah:

Sebagai ketua keluarga seorang bapa adalah bertanggungjawab untuk mewujudkan suasana iman di rumah ketika bulan khususnya ketika bulan Ramadhan. Isteri dan anak-anak hendaklah dibiasakan dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat.

Antara persediaan yang boleh dilakukan ialah dengan menyediakan bilik atau sudut khusus di dalam rumah untuk beribadah. Sediakan al-Quran secukupnya untuk ahli keluarga dan tetapkan waktu untuk solat malam berjamaah atau waktu membaca al-Quran bersama-sama. Sediakan vcd kuliah agama dan dokumentari Islam untuk ditonton ketika waktu lapang. Pastikan ahli keluarga tidak menghabiskan masa di hadapan tv menonton rancangan atau filem yang tidak bermanfaat.

Ketua keluarga juga mestilah memastikan isteri dan anak-anak yang sudah dewasa benar-benar menutup aurat ketika keluar dari rumah.

Sebelum Ramadhan elok juga diadakan satu taklimat khusus kepada ahli keluarga untuk menerangkan fadhilat-fadhilat Ramadhan dan disiplin yang mesti dipatuhi sepanjang Ramadhan.

3) Persiapan di Masjid.

Masjid atau surau adalah tempat tumpuan sepanjang bulan Ramadhan. Oleh itu ahli jawatankuasa masjid hendaklah membuat perancangan rapi bagi menyediakan tempat yang kondusif untuk beribadah sepanjang Ramadhan khususnya. Persediaan rapi ini juga wajar dibuat supaya ada ahli jamaah yang datang dapat terus istiqomah berjamaah di masjid walaupun selepas tamatnya Ramadhan.

Antara aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan ialah menyediakan Imam yang baik bacaannya untuk mengetuai solat Tarawih kerana ia memainkan peranan penting membangkitkan keseronokan melakukan solat Tarawih. Imam ini juga hendaklah diberi taklimat terlebih dahulu agar membaca al-Quran tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek ketika solat Tarawih. Amalan membaca sejuzuk al-Quran satu malam perlulah diukur dengan kesesuaian ahli jamaah. Kerana fenomena yang sering berlaku ialah tempoh yang panjang ketika solat Tarawih menyebabkan ramai makmun yang lari dan meninggalkan jamaah. Begitu juga dengan jumalah rakaat solat Tarawih samada 8 atau 20 hendaklah dilihat dari sudut keberkesanan dan peluang menyampaikan untuk berdakwah.

Di samping itu satu ceramah atau kuliah khusus perlu diadakan sebelum Ramadhan bagi meningkatkan kefahaman tentang ibadah puasa. Manakala di sepanjang bulan Ramadhan hendaklah diatur aktiviti tazkirah 7 ke 10 minit setiap hari selepas 4 rakaat solat Tarawih.Tazkirah ini hendaklah menfokuskan kepada hikmah-hikmah berpuasa dan perkara-perkara yang berkaitan dengan keindahan Islam. Kerana kebanjiran umat Islam di masjid ketika Ramadhan wajar dijadikan peluang menyampaikan mesej dakwah dan menanamkan kefahaman Islam kepada mereka.

Penutup.

Demikianlah beberapa cadangan persiapan yang boleh dilakukan oleh setiap individu muslim bagi memastikan keagungan bulan Ramadhan yang ditempuhi tidak berlalu dengan sia-sia.


06 Julai 2011

Usah Risau Jika Belum Berpunya...

Resah. Gelisah. Seraut wajah termenung jauh. “Orang lain semua dah nak kawin, tinggal aku sorang saja”. Sekeping hati bermonolog. Monolog itu disusuli tujahan prasangka.



“Aku tak cantik ke?”
“Aku kurang bergaya ke?”
“Ataupun pasal gaji aku tak seberapa?”
“Aku tak pandai meng’ayat’ agaknya.”

Mungkin begitulah kerisauan yang memberat di minda muda mudi yang masih belum berpunya. Rasa rendah diri, stress dan gelojak rasa ingin memiliki membutakan mereka berusaha memenangi hati dan memiliki seseorang tanpa mengenal batas halal dan haram. Yang penting dapat.

Pilu hati ini melihat remaja yang merana kerana cinta. Pilu kerana walaupun mereka sudah merasa peritnya penangan cinta dusta, mereka masih tak mampu mengarah diri mencari cinta hakiki. Tak serik- serik lagi diri didustai. Diri diperhamba menagih cinta sementara hingga sanggup berkonflik dengan Pencipta cinta. Semua batasan- Nya diredah segala. Tak kenal dosa pahala.

Oh, remaja!

Cinta sebelum kahwin itu hanya menjerumus ke lembah dosa dan zina. Jika mampu bertahan ke jinjang pelamin sekalipun, percayalah bahawa rumah tangga itu takkan berkat. Apa tidaknya, asasnya dibina daripada dosa dan maksiat. Mana mungkin dapat menegakkan tiang taqwa yang utuh kecuali dinaik taraf dengan taubat. Rumah tangga akan menjadi tawar dan hambar. Semuanya sudah dirasa dan terbiasa, nak rasa nikmatnya apa lagi? Anak- anak menjadi mangsa. Terimalah ia sebagai hukuman di dunia. Amat pedih. Namun, terlalu sedikit berbanding pedihnya hukuman abadi di negeri sana.

Kuhembus nasihat ini kepadamu hai remaja tanda sayangku tak terhingga. Bagi para- para gadis yang belum berpunya, andalah pilihan-pilihan Allah untuk masih mekar terpelihara sehingga tiba giliran anda mendapat seruan, yakinlah!

Jangan risau jika masih belum berpunya kerana mungkin Allah ingin bagi ketenangan dulu buat anda untuk terus melangkah menggapai cita- cita. Usah peningkan kepala. Dia menguji anda sedikit masa lagi.

Begitu jugak buat pemuda yang belum berpunya, “first thing first”. Utamakan yang lebih penting daripada apa yang penting. Kenali prioriti anda sekarang. Jika memang sudah sampai saat nak memiliki, tabahlah dan teruskan berusaha. Ingat, pastikan waktu nak berusaha tu anda memang dah betul- betul mampu dan bersedia.


Memiliki seorang isteri solehah ibarat memiliki dunia dan seisinya. Sudah tentu jalan untuk mendapatkan sesuatu yang istimewa amat berliku dan banyak cabaran. Jangan berputus asa. Rasa mulialah dengan usaha yang dicurahkan walaupun pinangan pernah ditolak. Usah rasa malu dan terhina kerana Allah menilai setiap usaha selagi berjalan dilandasan- Nya. Teruskan berusaha!

Ingat, usaha yang Allah redha sahaja. Bagaimana? Dengan SMS siang malam? Atau bergayut di telefon memanjang? Atau ajak keluar, belanja makan? Begitukah?

Berusahalah menyediakan diri dan pikatlah ibu bapanya terlebih dahulu, Itu tip memikat wanita beriman. Sebaik- baiknya, gunakan orang perantaraan untuk lebih menjaga warak dan iman.

Seringkali, seseorang mencari kekasih ibarat dia mendaki gunung yang tinggi. Pepohon berduri sanggup diredah, curam yang jurang sabar ditempuh. Namun, apabila dia memilikinya, didapati insan yang dikejar itu dedaunan kering cuma. Begitulah perumpamaan sia-sianya usaha yang tidak disalur dengan suluhan petunjuk Al-Quran dan Sunnah.


Beringatlah, urusan jodoh tak ke mana. Sudah sedia tercatat seungkap nama di Loh Mahfuz untuk kita. Ianya urusan yang pasti. Apa yang tak pasti. Sama ada kita mendapatkannya dengan cara yang mulia atau sebaliknya.
Wallahu’alam.

~oleh Ukhti Fatimah Syarha Mohd Noordin~

23 Mei 2011

Dengan hanya memandang beroleh pahala

Kehidupan seorang hamba di dunia merupakan perjalanan untuk membuktikan pengabdian kepada pencipta. Pengabdian ini perlulah dimanifestasikan melalui amalan-amalan yang mendekatkan diri kepada-Nya, sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah.
Amalan-amalan yang dilakukan secara konsisten akan melahirkan individu yang komited dengan Islam kerana dalam jiwa mereka dipenuhi kecintaan kepada Allah.

Kemuncak dalam mempraktikkan amalan-amalan ini ialah meraih syurga yang disediakan kepada mereka yang benar-benar membuktikan keimanan mereka kepada Allah.
Allah itu maha pemurah terhadap hamba-hambanya. Antaranya ialah terdapat lima (5) perkara yang membuahkan ganjaran pahala hanya dengan melihat atau menatapnya sahaja. Allahu Akbar!! Alangkah mudahnya untuk mendapat pahala. Dan alangkah pemurahnya Allah yang Esa.

Lima perkara itu ialah:

1. melihat al-Quran
(tengok ayat-ayat al-Quran yang mulia pun dapat pahala, apatah lagi membacanya, menghafal dan memahami maksud ayat al-Quran)

2. melihat Kaabah


3. melihat air Zam-zam

(memandang air zam-zam pun dapat pahala, apatah lagi meminumnya)

4. melihat wajah ibubapa


(renunglah wajah mereka dengan penuh kasih sayang)

5. melihat orang alim dan keindahan alam


(Menghayati keindahan alam seperti laut dan gunung sambil mengagungkan kebesaran Allah s.w.t)

senangnya dapat pahala hanya dengan melihat ^^

sayangnya Allah s.w.t kepada hamba2-Nya

11 Mei 2011

Kasih Ibu Bapa Membawa Ke Syurga

Salam untuk semua, moga dirahmati-NYA ('',)

Lahirnya ke dunia, seorang bayi meraung dan menangis memecah kesunyian, saat di mana manusia sekililing menunggu ketibaan insan baru dalam kehidupan. Tangisan bayi comel itu membawa khabar gembira kepada sepasang suami isteri yang bergelar ibu dan bapa. Tangisan itu melakarkan senyuman yang berpanjangan. Penantian yang panjang selama 9 bulan 10 hari terasa sangat bermakna, pengorbanan ibu melahirkan anaknya suatu pengorbanan teragung yang tiada tolak banding.

Namun sangat memilukan apabila pusat penjagaan orang-orang tua sentiasa penuh dan bertambah dengan kedatangan penghuni-penghuni baru setiap masa. Persoalannya, apakah anak-anak sekarang sudah buta dalam menilai dan menghargai? Sedangkan nilai kasih sayang seorang ibu tidak terhingga terhadap anak yang dilahirkan. Ibu yang mendidiknya bermula dengan belajar meniarap hinggalah anak itu pandai berlari-lari, malah tidak kurang yang sangat petah berkata-kata.

RASULULLAH menangis, hiba hatinya mendengar luahan hati seorang ayah mengenai anaknya. Lelaki tua itu berkata: “Ketika kecil, tanganku inilah yang memberimu makan. Engkau kehausan, akulah yang menuangkan. Jika kau sakit, tiada aku tidur sepanjang malam, sakitmu itu membuatku kerisauan. Tetapi kini selepas engkau mencapai tujuan. Kulihat dalam dirimu apa yang tidak kuharapkan. Kau balas dengan kekerasan dan kekasaran. Seolah-olah nikmat dan anugerah itu engkau yang berikan.”

Berlinangan air mata Rasulullah, baginda memanggil anak itu dan bersabda kepadanya: “Kamu dan semua milikmu, semuanya adalah milik ayahmu.” Hadis riwayat Ibn Majah, Imam Ahmad dalam al-Musnad, Ibnu Hibban dalam Sahihnya dan al-Baihaqi dalam al-Sunan.
Berbuat baik kepada ibu bapa adalah satu perintah dan tanggungjawab yang wajib disempurnakan bagi setiap individu yang bergelar anak tanpa mengira samaada ibu bapanya itu beriman atau tidak. Dalam surah al-Isra', ayat 23 dan 24, Allah menerangkan kepada kita supaya sentiasa taat kepada mereka:-

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا
"Jika seorang atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, janganlah engkau berkata kepada kedua-duanya sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.


وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
"Dan rendahkanlah dirimu kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka memelihara dan mendidikku ketika kecil.

Melalui nas ini jelas menunjukkan, berbakti kepada ibu bapa bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan kerana ia adalah suatu perintah yang wajib dilakukan. Sebagai anak, kita perlu menjaga hubungan dengan ibu bapa agar sentiasa akrab meskipun sudah dewasa dan mempunyai rumah tangga sendiri. Perbuatan derhaka amatlah dilarang sama sekali dan mereka yang menderhaka akan mendapat dosa besar. Dalam satu hadis ada menerangkan derhaka kepada ibu bapa adalah dosa besar selepas syirik.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Nabi s.a.w pernah menceritakan mengenai dosa besar. Baginda bersabda yang bermaksud: "Menyekutukan Allah, menderhaka kedua-dua ibu bapa, membunuh dan berkata dengan kata-kata palsu." (Hadis riwayat Muslim)


Menurut hadis nabi juga, orang yang derhaka pada ibu tidak mencium bau syurga. Dalam satu kisah, sahabat Nabi s.a.w bernama Alqamah, seorang yang taat dan rajin beribadat; mendirikan sembahyang, berpuasa dan bersedekah. Namun pada saat kematiannya Alqamah sangat menderita. Begitu sulit hendak menghadap Allah Taala. Mulutnya seperti terkunci untuk mengucapkan kalimah tauhid sungguhpun setelah ditalqin yakni diajarkan oleh para sahabat. Ini adalah kerana Alqamah lebih mengutamakan dan terlalu cintakan isterinya sehingga mengabaikan ibunya.

Di akhir hayat Alqamah, ibunya tidak memaafkannya kerana masih berkecil hati dengan Alqamah. Melihat keadaannya yang nazak, Nabi memerintahkan sahabat untuk mengumpul kayu api sebanyaknya untuk membakar Alqamah, Maka pada saat itulah, cinta seorang ibu yang telah lama terkubur dalam hatinya mulai hidup dan bersemi lagi, akhirnya ibu Alqamah memaafkannya dan Alqamah dapat menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan tenang.

Peristiwa terbabit wajar dijadikan iktibar kepada semua di antara kita. Janganlah kerana isteri hak ibu terabai dan disebabkan suatu perkara remeh, tergamak meninggikan suara terhadap ibu sendiri.

Hayatilah sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Reda Tuhan (Allah) ada dalam reda kedua-dua ibu bapa dan kemurkaan-Nya ada dalam kemurkaan kedua-duanya." (Hadis riwayat al-Tabrani)

p/s :
Oleh:Hanisah Harun

27 April 2011

Pengajaran Dari Satu Penampar

Mungkin ini boleh kiter jadikan satu pengajaran & sebagai renungan bersama........

Pengajaran dari satu penampar

Ada seorang pemuda yang lama belajar di luar negeri kembali ke tanahair dengan angkuh dan sombong. Di dalam benak kepalanya telah lama tersimpan 3 pertanyaan yang dianggapnya tiada siapa yang boleh menjawab. Satu hari beliau bertemu seorang imam tua di kampungnya.

Pemuda: Pak imam apakah boleh menjawab pertanyaan-pertanyaan saya?

Pak Imam : Saya hamba Allah dan dengan izin-Nya saya akan menjawab pertanyaan kamu!

Pemuda: Pak imam yakin? Profesor dan banyak orang pintar yang saya tanya tidak mampu menjawab pertanyaan saya.

Pak Imam: Saya akan mencuba sejauh kemampuan saya, insya'Allah.

Pemuda: Saya ada 3 pertanyaan

1. Kalau benar Tuhan itu ada, tunjukan kewujudan Tuhan kepada saya?

2. Apakah yang dinamakan TAKDIR?

3. Kalau syaitan diciptakan dari api, kenapa mereka dimasukkan ke neraka yang dibuat dari api, tentu tidak menyakitkan buat syaitan, sebab mereka memiliki unsur yang sama. Apakah Tuhan tidak pernah berfikir sejauh itu?

Dengan sepontan Pak Imam tersebut menampar pipi si Pemuda itu dengan amat kuat.

Pemuda (sambil menahan sakit) : Kenapa pak imam marah kepada saya?

Pak Imam : Saya tidak marah... Tamparan itu adalah jawapan saya untuk 3 pertanyaan yang awak tanyakan kepada saya.

Pemuda : Saya amat tidak faham...??

Pak Imam : Bagaimana rasanya tamparan saya?

Pemuda : Tentu saja saya merasakan sakit dan pedih...!!

Pak Imam : Jadi awak percaya bahwa sakit itu ada?

Pemuda : Ya....!

Pak Imam : Tunjukan pada saya ujudnya sakit itu atau macam mana rupanya?

Pemuda : Tak boleh pak imam...!!!

Pak Imam : Itulah jawapan kepada pertanyaan pertama awak, kita semua merasakan kewujudan Tuhan itu tanpa mampu melihat kewujudanNya.

Pak Imam : Adakah malam tadi awak bermimpi atau telah tahu saya akan menampar awak?

Pemuda : Tidak....!!?

Pak Imam : Apakah awak pernah terfikir akan menerima sebuah tamparan dari saya hari ini?

Pemuda : Tidak....!!!?

Pak Imam : Itulah yang dinamakan TAKDIR!

Pak Imam : Terbuat dari apakah tangan yang saya gunakan untuk menampar awak ini?

Pemuda : Kulit dan daging...!!!

Pak Imam : Terbuat dari apakah pipi awak itu...?

Pemuda : Kulit dan daging....!!!??

Pak Imam : Bagaimana rasanya tamparan saya?

Pemuda : Sakit dan pedih....!!!?

Pak Imam : Itulah...! Walaupun Syaitan terbuat dari api dan Neraka terbuat dari api, Jika Tuhan berkehendak maka Neraka akan jadilah ia tempat yang menyakitkan untuk syaitan.... walaupun sama unsur asalnya...!!

Pemuda : Allahuakbar!

"ISLAM KAN TETAP DIJULANG WALAUPUN IA DITENTANG.. ITULAH JANJI ILAHI"

'Alangkah terasa hidup sia-sia.. Ruang fikiran hanya dengan ilmu dunia, Alangkah ruginya usia yang pergi.. Jika amalan bukan untuk alam abadi.'

15 Mac 2011

Bertunang : Soalan "Ta'aruf" Untuk Si Jejaka

Membuat keputusan untuk berkahwin bukanlah suatu perkara yang mudah. Perkahwinan bererti memasuki suatu alam yang berlainan sama sekali dengan alam yang pernah dilalui sebelumnya, bak kata Tan Sri S M Salim dalam salah satu lagunya, 'dulu lain sekarang lain, dulu bujang sekarang dah kahwin'.

Setiap pasangan yang berkahwin pastinya mengharapkan perkahwinan itu kekal bahagia buat selama-lamanya. Ramai yang berjaya. Namun tidak kurang pula yang kecewa.
Al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa', bekas kadi ahwal syakhsiyyah di Kuwait menyimpulkan antara sebab berlakunya keretakan dan kegagalan dalam perkahwinan adalah kurang taaruf atau tidak mengenali antara satu sama lain dengan mendalam sebelum berkahwin.
Taaruf yang mendalam atau mengenali bakal teman hidup sebelum melangsungkan perkahwinan sangat penting demi menjamin kesejahteraan dan keseimbangan dalam menjalani kehidupan berumahtangga.

Ini tidak bermakna pasangan mesti melalui alam percintaan sebelum berkahwin, kerap bertemu dan berhubung melalui panggilan telefon, sms, chatting dan sebagainya.

Percintaan sebelum berkahwin seperti yang dilakukan oleh segolongan masyarakat dan ditonjolkan dalam segala macam media sebagai suatu kemestian, suatu dunia yang penuh dengan keindahan dan keseronokan adalah sebenarnya penipuan belaka.

Alam percintaan tidak mendedahkan hakikat diri yang sebenarnya. Masing-masing berusaha menunjukkan yang terbaik sahaja di hadapan pasangannya.

Setelah berkahwin barulah terbongkar segala rahsia, segala perangai dan sikap buruk yang selama ini disembunyikan.

Untuk mengenali calon pasangan hidup anda dengan mendalam, al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa' mencadangkan agar anda mengajukan 10 soalan.

Soalan-soalan ini boleh diajukan secara langsung semasa sesi taaruf, atau melalui orang tengah. Jika calon memilih untuk bertemu, melihat dan berkenalan pastikan pertemuan itu tidak dilakukan secara berdua-duaan di tempat suci dan terpencil.

Jangan cemari niat yang suci dengan melanggari perintah Allah dan Rasul. Jangan relakan syaitan menjadi orang ketiga di antara anda dengan si dia.

10 soalan itu adalah:

1. Apakah wawasan hidupnya?

Setiap orang mempunyai wawasan dan cita-cita yang ingin dicapai dalam hidupnya. Inilah yang perlu anda ketahui mengenai bakal pasangan hidup anda.

Sekiranya anda dan dia mempunyai wawasan dan matlamat hidup yang sama maka perselisihan dalam rumahtangga akan berkurangan.

2. Bagaimanakah kefahamannya mengenai konsep perkahwinan?

Kefahaman serta tasawur atau gambaran yang jelas mengenai perkahwinan amat penting.

Sekiranya kedua-dua pihak mempunyai kefahaman yang berbeza, umpamanya satu pihak menganggap perkahwinan hanya sekadar memenuhi tuntutan nafsu semata-mata, sedang satu pihak lagi memandang sebagai satu ibadah, sudah semestinya rumahtangga yang bakal dibina tidak akan aman daripada perselisihan dan pergaduhan.

3. Apakah sifat-sifat yang digemari dan tidak digemarinya?

Adalah penting bagi setiap pasangan mengetahui kegemaran pasangannya, apa yang disukai dan tidak disukainya kerana kadang-kadang perselisihan berlaku disebabkan kelainan kegemaran dan citarasa.

Sekiranya kegemaran setiap pihak diketahui terlebih awal mungkin perselisihan dapat dielakkan.

4. Apakah pandangannya mengenai anak pada tahun pertama perkahwinan?

Setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza mengenai masa yang sesuai untuk menimang cahaya mata.

Sekiranya satu pihak belum bersedia sedang pihak yang satu lagi sudah tidak sabar untuk bergelar ibu atau ayah, pastilah kedua-dua pihak akan berasa tertekan dan perhubungan akan jadi tegang.

5. Adakah dia mempunyai masalah kesihatan atau kecacatan?

Masalah kesihatan yang kronik atau kecacatan semula jadi pada anggota badan tidak wajar disembunyikan.

Mengetahui adanya penyakit atau kecacatan tertentu akan mempengaruhi keputusan yang bakal diambil. Menyembunyikan penyakit yang kronik atau kecacatan yang mengaibkan boleh dianggap sebagai satu penipuan.

6. Adakah dia seorang yang suka bergaul?

Sesetengah orang suka bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat, mempunyai kawan dan kenalan di merata-rata tempat. Sesetengah yang lain pula suka menyendiri, tidak pandai berkawan dan sukar didampingi.

Orang macam mana yang anda cari?

7. Bagaimana hubungannya dengan ahli keluarganya?

Perkahwian bukan sekadar aqad yang mempertemukan antara dua jiwa. Sebaliknya perkahwinan merupakan hubungan kemasyarakatan yang mencantumkan antara dua keluarga atau lebih.

Oleh itu bakal tunangan harus tahu status keluarga serta hubungan mereka antara satu sama lain. Hubungan kekeluargaan juga sedikit sebanyak menggambarkan keperibadian seseorang.

8. Apakah kegemarannya dan bagaimana dia mengisi waktu lapangnya?

Kegemaran serta cara seseorang memenuhi masa lapangnya juga memberi gambaran tentang wawasan serta cita-citanya dalam hidup ini.

9. Adakah dia aktif dalam mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan kebajikan?

Keaktifan dalam persatuan kebajikan atau pertubuhan sukarela menggambarkan dia bukan seorang yang sombong dan mementingkan diri.

Orang yang hidupnya sekadar untuk memenuhi cita-cita dan wawasan peribadi semata-mata sebenarnya hidup dalam dunia yang sempit dan mati sebagai insan yang kerdil.

Tetapi orang yang hidup dalam perjuangan akan hidup sebagai insan yang hebat dan apabila dia mati namanya akan dikenang zaman-berzaman.

10. Apakah pandangannya sekiranya ibu bapa masuk campur dalam urusan peribadi atau urusan rumahtangga mereka?

Setengah orang menganggap rumahtangga adalah masalah peribadi yang terlalu khusus. Tiada seorang pun yang boleh masuk campur walaupun ibu bapa sendiri.

Hal ini sangat penting diketahui oleh setiap orang yang akan memasuki gerbang perkahwinan.

Apakah pandangan bakal pasangan hidupnya.

Adakah dia termasuk dalam golongan di atas atau sebaliknya seorang yang terlalu bergantung kepada kedua-dua ibu bapanya walaupun telah berkeluarga?

Apabila anda telah mendapat jawapan yang bersesuaian dengan apa yang dicari, maka teruskanlah hasrat anda untuk melamarnya. Begitu juga halnya dengan pihak yang dilamar.

Pastikan anda mengenali jejaka yang melamar itu dengan mengajukannya 10 soalan di atas.

p/s : hmm rasa takut bila baca artikel nih... konfiden ke nk jwb?..ehehe..
artikel dipetik drpd ibnu zubir..tq

08 Mac 2011

Adab-adab Memberi Nasihat

Daripada Abu Ruqaiyyah Tamim ibn Aus al-Daarie r.a. bahawa Nabi SAW telah bersabda: “Agama itu adalah nasihat.” Kami berkata: “Untuk siapa?” Baginda bersabda: “Untuk Allah, untuk kitabNya, untuk RasulNya, untuk para lmam kaum muslimin dan untuk umat lslam seluruhnya.”

Hadis riwayat al-lmam Muslim.

.....................................................................................

Di dalam hadith ke-7 dalam Kitab Hadith 40 yang telah disusun oleh Imam Nawawi ini, jelas telah digambarkan oleh Rasulullah SAW tentang perihal pentingnya nasihat menasihati di dalam perkara kebaikan. Nasihat juga digambarkan besarnya seperti sebuah Agama Islam, menunjukkan bahawa Islam ini melingkari seluruh aspek kehidupan seharian kita.

Pengertian nasihat

Agama Islam adalah agama
Allah, dan agama menurut Rasulullah SAW adalah nasihat yang terbaik untuk umatnya. Dalam Bahasa Arab, nasihat membawa maksud yang dinasihati akan mendapat faedah daripada nasihat yang telah diberi. Ia juga membawa erti bahawa yang menasihati hendaklah menggunakan perkataan yang terbaik dan ikhlas bersih dari maksud yang tidak baik.

Adab-adab memberi nasihat

1. Meluruskan niat sebelum menasihati

Luruskan niat sebelum menasihati seseorang supaya tidak ada yang berasa disakiti. Ikhlas menasihati saudara semuslim semata-mata karena Allah. Seharusnya seorang yang ingin memberikan nasihat itu perlulah bersih dari segala bentuk niat yang terpesong kerana ia akan memberi kesan ke atas nasihat yang ingin diberikan. Janganlah menasihati seseorang itu kerana ingin menunjukkan kitalah orang yang benar, tetapi tegurlah kerana ingin mengajak sahabat ke jalan yang benar.

2. Menjaga ukhuwah semasa menasihati.

Diusahakan supaya menasihati saudaranya dengan tidak diketahui orang lain. Sebahagian ulama berkata, “Barangsiapa yang menasihati seseorang dan hanya ada mereka berdua, maka itulah nasihat yang sebenarnya. Barangsiapa yang menasihati saudaranya di depan banyak orang, maka yang demikian itu mencela dan mencelakan orang yang dinasihati.” Islam mengajar umatnya supaya mempunyai akhlak yang tinggi. Dalam hal menasihati juga terdapat perkara ini. Ini menunjukkan bahawa Islam amat menjaga hati dan maruah orang yang dinasihati supaya tidak berlaku perpecahan kerana perkara nasihat.

3. Bersih hati semasa menasihati.

Menggunakan bahasa yang halus dan menegur hanya untuk perkara-perkara yang salah. Kadang-kadang kita sering menggunakan perkataan yang sangat teruk untuk meluahkan nasihat kita. Dalam ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah yang berbentuk menasihati, kita lebih gemar menyatakan salah orang lain seolah-olah mereka yang melakukan perkara tersebut sangat jahat dan sudah tiada ruang untuk bertaubat. Seharusnya selaku seorang pendakwah, nasihat adalah senjata utama yang perlu digunakan sebaiknya.

4. Memikirkan cara yang terbaik untuk menasihati saudara.

Seboleh-bolehnya mengenali dulu saudara yang bakal kita nasihati itu. Nasihatilah mereka dengan kasih sayang dan jadilah sebahagian dari mereka, kerana dari situ kita akan tahu apa puncanya mereka begitu.

5. Memberi waktu dan kesempatan

Beri waktu dan kesempatan kepada saudara yang dinasihati untuk mengubah sifat buruk/ kesalahan yang dilakukannya. Manusia perlukan masa untuk berubah, jangan memaksa mereka untuk berubah mendadak, ia bukan dalam lingkungan tugas seorang pendakwah. Dalam berdakwah perlu akan sifat sabar dan berserah kepada Allah. Jadilah orang yang sentiasa mengharap pertolongan Allah dan jangan mudah putus asa di atas nasihat yang diberikan kerana itu mungkin ujian yang telah ditentukan oleh Allah untuk menguji kesabaran.

Ayuh semua sahabatku, kita renungkan kembali perkara yang telah kita lakukan selama ini, nasihat yang telah kita berikan kepada orang lain atau nasihat yang diperolehi daripada orang lain, adakah kita sudah melaksanakan amanah ini? Jangan jadi golongan yang hanya tahu menasihati sedangkan mereka tidak sedia untuk dinasihati.


p/s : terima kasih hada_islamic atas perkongsian ilmu ini.

01 Mac 2011

Jangan Tangisi Apa yang Bukan Milikmu

Dalam perjalanan hidup ini seringkali kita merasa kecewa. Kecewa sekali. Sesuatu yang luput dari genggaman, keinginan yang tidak tercapai dan kenyataan yang tidak sesuai dengan harapan.

Dan sungguh sangat beruntung andai dalam saat-saat tergoncangnya jiwa, masih ada setitik cahaya dalam kalbu untuk merenungi kebenaran. Masih ada kekuatan untuk melangkahkan kaki menuju majlis-majlis ilmu dan majlis-majlis zikir yang akan memberikan ketenteraman jiwa.

Hidup ini ibarat belantara. Tempat kita mengejar pelbagai keinginan dan impian. Dan memang manusia diciptakan mempunyai kehendak serta mempunyai keinginan. Tetapi bukan semua yang kita inginkan dapat dicapai. Sesungguhnya tidak mudah menyedari bahawa apa yang bukan menjadi hak kita tak perlu kita tangisi. Banyak orang yang tidak sedar bahawa hidup ini tidak punya satu hukum: harus berjaya, harus bahagia atau harus-harus yang lain.

Betapa banyak orang yang berjaya tetapi lupa bahawa hakikatnya semua itu pemberian Allah sehingga membuatnya sombong dan bertindak sewenang-wenangnya. Begitu juga kegagalan sering tidak dihadapi dengan betul. Padahal dimensi tauhid dari kegagalan adalah tidak tercapainya apa yang memang bukan hak kita. Padahal hakikat kegagalan adalah tidak terengkuhnya apa yang memang bukan hak kita.

Apa yang memang menjadi milik kita di dunia, samada rezeki, jawatan atau kedudukan, pasti Allah akan berikan. Tetapi apa yang memang bukan milik kita, kita tidak akan mampu miliki; walaupun ia nyaris menghampiri kita atau meskipun kita bermati-matian berusaha mendapatkannya.

"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.." (Surah Al-Hadid: 22-23)

Maka sudahlah, jangan kau tangisi apa yang bukan milikmu!

- sumber iluvislam

Halwa Telinga