Hikmah Sebalik Sakit
Apabila diuji dengan sesuatu penyakit, maka selaku seorang muslim yang beriman, perkara yang utama yang perlu dilakukan ialah muhasabah diri, mengingati dan menghitung kembali betapa banyak kesalahan atau dosa yang telah dilakukannya. Maka apabila ditimpa dengan sedikit ujian itu, wajarlah bersabar dan menerimanya dengan redha tanpa sebarang keluhan atau rintihan. Jauh sekali menyalahkan qadha dan qadar Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Setentunya Allah Ta‘ala Maha Mengetahui akan rahsia dan hikmah di sebalik ujian tersebut.
Ada pula segolongan manusia yang ditimpakan musibah itu adalah dengan maksud agar mereka mendapat kebaikan dan ganjaran, membuatkan mereka lebih muhasabah diri dalam semua hal keadaan, redha dengan Allah dan berserah dengan qadha dan qadarNya. Golongan ini akan merasa redha dan sabar serta taat dengan ujian Allah tanpa keluh kesah dan rungutan, apa lagi untuk merasa kecewa dan berputus asa.
Untuk lebih jelas renungkan hadis-hadis berikut yang menyatakan perbezaan antara dua golongan manusia, yang satu ditimpa musibah dan yang satu lagi tidak pernah ditimpa musibah.
Hadis shahih yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘ahnu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang Allah inginkan padanya sesuatu kebaikan, (Allah) akan mengujinya.
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Manakala hadis lain membawakan mesej yang lain pula, iaitu riwayat Anas bin Malik Radhiallahu ‘ahnu daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Besarnya pahala (balasan) adalah seimbang (setara) dengan besarnya cubaan (bala). Dan sesungguhnya Allah, bila menyukai suatu kaum, Dia akan memberi cubaan kepada mereka. Maka sesiapa yang redha, baginya keredhaan Allah. Dan sesiapa yang marah (tidak dapat menerima cubaan), maka baginya kemurkaan Allah.
(Hadis riwayat Ibnu Majah)
Berbeza pula bagi individu yang tidak pernah ditimpa ujian dan dugaan. Abu Hurairah Radhiallahu ‘ahnu meriwayatkan perbualan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan seorang Arab badawi:
Maksudnya: “Adakah engkau (pernah) mengalami ‘Ummu Mildam’?”
Dia berkata: “Apakah dia ‘Ummu Mildam’ itu?”
Baginda bersabda: “Rasa panas yang dirasai di antara kulit dan daging (demam).”
Dia menjawab: “Aku tidak pernah merasakan perkara itu.”
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya (lagi): “Adakah engkau pernah merasai pening?”
Dia berkata: “Apakah dia pening itu?”
Baginda bersabda: “Rasa sakit berdenyut yang dirasakan oleh seseorang pada kepalanya.”
Dia menjawab: “Aku tidak pernah merasakan perkara itu.”
Maka apabila lelaki itu berpaling (berlalu pergi), Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa mahu melihat (contoh) lelaki daripada ahli neraka, maka lihatlah orang ini.”
(Hadis riwayat Ibnu Hibban)
Dalam kitab Shahih Ibnu Hibban bi Tartib Ibnu Balban, Abu Hatim seterusnya menerangkan bahawa ini tidak bermakna orang yang sentiasa sihat di dunia ini bakal menjadi ahli neraka kelak. Apa yang dimaksudkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ialah Baginda menerangkan kepada umatnya bahawa seseorang itu tidak lepas dari melakukan kesalahan dan dosa. Perbuatan salah dan dosa itu pasti akan menerima balasannya di akhirat kelak, melainkan jika telah diampunkan. Ini termasuklah menerima sebahagian balasan perbuatan itu semasa di dunia samada berupa penyakit, perasaan duka cita dan perkara-perkara yang menyedihkan.
(dipetik dari State Mufti's Office, Prime Minister's Office, Brunei Darussalam)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan